fbpx

Mahkamah: Joanna percaya Jho Low penasihat Najib dalam 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau percaya ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah penasihat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berjawatan Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 51, berkata, Jho Low sendiri yang memperkenalkan diri sebagai penasihat Najib dalam 1MDB sewaktu mengadakan beberapa pertemuan dengan ahli perniagaan tersebut.

Menurut saksi pendakwaan ke-41, kepercayaan itu juga berasaskan kepada situasi sewaktu mesyuarat 1MDB berlangsung apabila beberapa pengurusan tertingginya kerap merujuk Jho Low sebagai `boss’ dan bekas Perdana Menteri sebagai `big boss’.

Joanna menegaskan, oleh yang demikian pihaknya tidak pernah curiga ketika Jho Low yang secara berterusan mengaku mewakili Najib, memaklumkan beliau berhasrat membuka akaun peribadi di AmBank.

Pada prosiding semalam, saksi menyatakan sedikit terkejut ketika dimaklumkan bahawa beliau ditugaskan menjaga akaun peribadi Najib yang ketika itu Perdana Menteri.

“Saya tidak pernah sangsi Jho Low mewakili Najib sebagai penasihat kerana kerap bertemunya di pejabat 1MDB meskipun tidak bertemu Najib di situ,” ujar beliau pada sesi pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Sewaktu menjawab soalan Ahmad Akram, saksi menyatakan beliau tidak pernah meragui Jho Low penasihat Najib dalam 1MDB kerana ahli perniagaan itu kerap memintanya menyemak status kad kredit Najib setiap kali ia tidak boleh digunakan.

Ketika ditanya oleh Ahmad Akram sama ada beliau pernah diberitahu oleh pihak lain bahawa Jho Low bukan penasihat Najib, saksi berkata tidak pernah.

“Saya gagal mengesahkan perkara itu (Jho Low penasihat Najib) dengan lebih mendalam kerana saya tidak rasa boleh bertemu Najib atau mengunjungi kediamannya, bukan taraf saya berbuat demikian,” ujar Joanna.

Pada awal prosiding, Joanna turut ditanya pihak yang kerap hadir ke kaunter bank untuk memasukkan wang tunai ke dalam akaun Najib secara berterusan setiap kali bakinya tidak mencukupi.

Saksi berkata, selalunya dua orang dikenali sebagai Kee Kok Thiam dan Josie Lim hadir membawa wang tunai dan mereka bukan daripada Arab, sebaliknya rakyat negara ini.

Joanna turut memberitahu, Najib tidak pernah membuat aduan berhubung kemasukan wang tunai melalui kaunter mahupun bertanyakan mengapa beliau tidak menerima penyata akaun daripada pihak bank.

Sewaktu diminta menjelaskan hubungan rapatnya dengan Jho Low, Joanna menyatakan beliau mula mengenali ahli perniagaan itu pada 2007 ketika ditugaskan menguruskan pinjamannya dengan pihak bank.

Joanna sekali lagi menegaskan beliau tiada hubungan rapat dengan Jho Low meskipun kerap bertemu di kediaman mewah lelaki itu bagi membincangkan urusan perbankan dan beliau tidak bersendirian sebaliknya sentiasa ditemani oleh pihak lain.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 27 Februari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI