KUANTAN – Kesemua tujuh mangsa yang cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah van yang melanggar pembahagi jalan di Genting Highlands di sini semalam berada dalam keadaan kritikal.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pada masa ini seramai enam mangsa yang cedera dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala satu dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
“Setakat ini ada tujuh kematian direkodkan yang melibatkan lima wanita dan dua lelaki yang kita amat kesalkan.
“Tidak ada mangsa yang cedera ringan dan enam orang yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) memang berada dalam keadaan kritikal di Hoshas dan HKL,”katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam tujuh maut manakala tujuh lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas dan melanggar penghadang jalan ketika turun daripada Genting Highlands di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands di Bentong.
Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah pemandu van, Wong Choun Chiet,49 dan enam penumpang iaitu Foong Ah Lan,67; Lee Moy,67; Wong Ah Moi,83; Ang Meng Hong,62; Seow Mee Tin, 72 dan Chan Them Kong,70.
Kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu berlaku ketika kesemua 14 mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dan 12 perempuan dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang dari Genting Highlands.
Menurut Ramli kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan daripada segenap aspek.
Jelasnya siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian juga giat dilakukan termasuklah kemungkinan masalah brek, kelajuan dan sebagainya.
“Semua (aspek) dalam siasatan sama ada keadaan jalan licin, tayar kena tengok, mungkin tayar pancit, mungkin brek tak main semua akan dilihat nanti (dalam siasatan),”ujarnya.
Dalam pada itu beliau mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati memandu dalam musim hujan dan memastikan kenderaan diselenggara dengan baik terutama apabila melakukan perjalanan ke tempat tinggi.
Katanya, bagi kenderaan awam hendaklah memastikan pemandu bukan sahaja mempunyai lesen memandu sah tetapi berada dalam keadaan yang baik untuk memandu seperti tidak mengantuk.
“Kawasan kita di Pahang kebetulan banyak kawasan pelancongan dan banyak tempat-tempat tinggi, sekiranya orang luar datang dan tidak biasa dengan tempat ini contohnya di Genting Highlands ia boleh membawa risiko kepada mereka untuk ambil selekoh dengan kelajuan tertentu yg boleh menyebabkan kemalangan seperti semalam,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE