MELAKA – Seorang penyelia syarikat keselamatan berdepan hukuman gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin, awal bulan ini.
Tertuduh, Mohd. Amali Matsuro, 36, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mengedar dadah jenis heroin dengan berat kasar 1.4 kilogram kira-kira pukul 9 malam di tepi Jalan TU 60 berhadapan Pangsapuri Sri Utama Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah, 2 Februari 2023.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung atau penjara seumur hidup dan sekiranya mahkamah mengenakan hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah juga disebat tidak kurang daripada 15 sebatan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan Nora Yaacob, manakala tertuduh diwakili Peguam Andrew Lourdes.
Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan tarikh 14 Mac depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia. – KOSMO! ONLINE