PETALING JAYA – Pemain golf profesional negara berpeluang meningkatkan prestasi masing-masing dalam Jelajah Toyota yang buat pertama kali dianjurkan di beberapa buah lapangan bermula Mac ini.
Jelajah Toyota diadakan hasil kerjasama antara Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM), UMW Toyota Motor dan MST Golf.
Pemangku Pengerusi PGM Tour, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, penganjuran Toyota Tour sudah pasti akan menjadi medan yang mengujakan bagi sukan golf di Malaysia bagi tahun ini.
Katanya, pemain profesional sudah semestinya akan menggunakan peluang itu untuk meningkatkan permainan mereka sekali gus menjadi bekalan untuk berentap di peringkat luar negara.
“Kerjasama daripada Asian Development Tour (ADT) pada kejohanan kali ini tentunya turut menyediakan pentas kepada pemain untuk terus berjaya di sirkit serantau dan mungkin lebih daripada itu,” katanya pada pelancaran kalendar Jelajah Toyota 2023 di KLGCC kelmarin.
Jelajah Toyota sebelum ini dikenali sebagai Jelajah PGM yang diperkenalkan pada 2010 oleh Allahyarham Tun Ahmad Sarji. Sejak itu, ia menjadi kejohanan penting dalam perkembangan sukan golf di negara ini.
Saingan Jelajah Toyota akan membabitkan sembilan pertandingan termasuk di Sabah dan Sarawak dengan kejuaraan Trofi Tun Ahmad Sarji PGM akan membuka tirai di Saujana Golf & Country Club pada 8 hingga 11 Mac ini.
Toyota Tour akan menutup tirai saingan dengan Kejuaraan Toyota di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) pada 14 hingga 17 November ini yang mana ia turut mendapat perakuan daripada Asian Development Tour (ADT).
Trofi Tun Ahmad Sarji PGM menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM230,000 merangkumi RM200,000 untuk kategori lelaki dan RM30,000 bagi kategori wanita.
Sementara itu, lapan pertandingan dalam Jelajah Toyota yang membabitkan pelbagai lokasi lain akan menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM210,000 bagi setiap kejohanan dengan RM180,000 daripadanya untuk kategori lelaki.
Peserta bagi setiap pertandingan tertutup ini akan membabitkan pemain profesional Malaysia yang memiliki kad PGM Tour selain pemain terbaik amatur dan jemputan penaja.
Selain Trofi Tun Ahmad Sarji, semua lapan pertandingan akan dikenali dengan nama model kenderaan Toyota.
Sementara itu, Kejuaraan Toyota pula akan menyediakan hadiah RM350,000 dengan penyertaan membabitkan pemain daripada Toyota Tour dan beberapa pemain terbaik ADT dari rantau ini di samping jemputan penaja.
Sebagai tambahan kepada kejohanan ini, penganjur turut mengadakan dua pertandingan kelayakan Jelajah Toyota bagi pemain yang tidak memiliki kad PGM Tour.
Sesi kelayakan pertama akan diadakan pada 21 hingga 23 Februari ini di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) manakala kedua di Palm Resort Golf & Country Club pada 12 hingga 14 September depan.
Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata penganjuran Toyota Tour sebagai refleksi kepada syarikat pengeluar kenderaan itu yang sentiasa inginkan kesempurnaan.
Ketua Pegawai Eksekutif MST, Ng Yap pula memuji kesediaan UMW Toyota Motor melabur terhadap industri sukan golf di negara ini.
“Kami sangat gembira dengan kesudian Toyota Tour tampil meneruskan legasi Allahyarham Tun Ahmad Sarji. Kami berterima kasih dan memuji UMW Toyota Motor atas pelaburan mereka kepada industri golf dan menjadikan sukan ini sebagai platform komunikasi penjenamaan Toyota,” katanya.
Jadual Toyota Tour 2023 –
21-23 Februari: Kelayakan Toyota Tour 1 di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Kuala Lumpur (Hadiah berjumlah RM15,000)
8-11 Mac: Trofi Tun Ahmad Sarji PGM di Saujana Golf & Country Club, Selangor (Jumlah hadiah RM230,000 (lelaki – RM200,000/wanita – RM30,000)
2-4 Mei: Piala Mirai di Sarawak Golf Club (Jumlah hadiah: RM210,000 (lelaki- RM180,000/wanita – RM30,000)
16-18 Mei: Piala Hilux di Sabah Golf & Country Club (Jumlah hadiah RM210,000 (lelaki – RM180,000 / wanita – RM30,000)
20-22 Jun: Piala Vios di Templer Park Country Club, Selangor (Jumlah hadiah RM210,000 (lelaki – RM180,000/wanita – RM30,000)
11-13: Piala Corolla di Royal Perak Golf Club (Jumlah hadiah RM210,000 (lelaki – RM180,000 / wanita – RM30,000)
25-27 Julai: Piala Supra di The Mines Resort & Golf Club, Selangor (Jumlah hadiah RM210,000 (lelaki – RM180,000 / wanita – RM30,000)
8-10 Ogos: Piala Alphard di Palm Garden Golf Club, Putrajaya (Jumlah hadiah RM210,000 (lelaki – RM180,000 / wanita – RM30,000)
12-14 September: Kelayakan Toyota Tour kedua, Palm Resort Golf & Country Club, Johor (Jumlah hadiah RM15,000)
3-5 Oktober: Piala Camry di Forest City Golf Resort, Johor (Jumlah hadiah RM210,000 (lelaki – RM180,000 / wanita – RM30,000)
17-19 Oktober: Piala Corolla Cross di Kota Seriemas Golf & Country Club, Negeri Sembilan (Jumlah hadiah: RM210,000 (lelaki – RM180,000 / wanita – RM30,000)
14-17 November: Kejuaraan Toyota di Kuala Lumpur Golf & Country Club (Jumlah hadiah RM350,000)