PUTRAJAYA – Sebanyak 28 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara ini menyatakan niat memberikan bantuan kemanusiaan bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Perkara berkenaan disahkan Kementerian Luar menerusi kenyataan tadi yang turut memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat perbincangan dengan mereka hari ini.
Katanya, Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengalu-alukan penglibatan NGO terbabit dalam misi kemanusiaan di sana.
“Sesi perbincangan yang berlangsung itu bertujuan memberi penerangan situasi semasa di lapangan terutama zon terjejas gempa.
“Mesyuarat itu juga bagi menyelaraskan usaha penyaluran bantuan kemanusian secara teratur dan selamat agar tiada berlaku pertindihan dan pembaziran tenaga kerja,” katanya.
Lewat semalam, sebuah NGO tempatan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berlepas ke Turkiye dengan membawa bantuan yang juga disertai 11 aktivisnya.
Wisma Putra berkata, mana-mana NGO yang ingin menyampaikan bantuan ke Turkiye dan Syria diseru supaya mendaftar dengan pihak Nadma menerusi e-mel [email protected].
“Bagi organisasi yang mahu menyertai misi ke sana pula, maklumat butiran delegasi serta senarai bentuk bantuan dan peralatan dibawa perlu dimaklumkan melalui e-mel tersebut.
“Sementara rakyat yang ingin menderma, Tabung Bencana Gempa di Turkiye dan Syria di bawah seliaan Tabung Bencana Kementerian Luar bakal dilancar dalam masa terdekat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE