SEBAGAI umat Islam, umrah merupakan satu ibadah yang dituntut dalam Islam jika mampu.
Setelah urusan untuk mengerjakan ibadah itu tergendala kerana pandemik Covid-19, kini pintu sempadan telah dibuka semula dan umat Islam dari seluruh dunia tidak mahu melepaskan peluang untuk ke Tanah Suci.
Namun begitu, disebabkan permintaan untuk mengerjakan ibadah tersebut semakin bertambah, pakej-pakej umrah juga dilihat telah naik mendadak mutakhir ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS), Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, pakej umrah ini merupakan satu pasaran bebas dan kenaikan harga sukar untuk dikawal.
Menurutnya, sebab utama yang menjadi kepada kenaikan harga ini adalah tiket penerbangan dan juga penginapan.
“Harga tiket penerbangan daripada syarikat luar negara telah meningkat. Justeru, harga bagi pakej umrah juga terpaksa dinaikkan.
“Malah, bukan itu sahaja, terdapat juga syarikat pelancongan yang memonopoli tiket penerbangan ke Tanah Suci,” katanya.
Tambahnya, ia bukan dilakukan oleh pengendali umrah, sebaliknya syarikat pelancongan biasa kerana mereka juga berhak untuk membeli tiket penerbangan tersebut dan menjualnya kembali.
Ahmad Ruzman memberitahu, kenaikan harga ini juga disebabkan kos untuk penginapan, yang mana pemilik-pemilik hotel menaikkan harga apabila mereka melihat permintaan terhadapnya tinggi.
Sebelum pandemik Covid-19, syarikat pengendali umrah boleh ‘kunci’ harga selama enam bulan hingga setahun dengan pemilik hotel.
Tetapi kini, tempoh paling lama untuk menetapkan harga dengan pemilik hotel di sana hanya dua bulan.
Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, dalam keadaan sekarang, tidak ada jalan untuk menurunkan kos umrah.
Menurutnya, dari sudut peningkatan harga ini kita perlu memahami tentang suasana di Arab Saudi.
“Misalnya, hotel di sana dua tahun ia tidak menerima jemaah kerana pandemik Covid-19 dan itu menyebabkan mereka tiada pendapatan, sedangkan ejen yang memajak hotel itu perlu beroperasi meskipun tiada pelanggan.
“Oleh itu, agak sukar juga untuk kurangkan harga penginapan di sana dan apa yang kami boleh lakukan adalah dengan meminta satu harga yang tidak berubah-ubah oleh pemilik hotel,” ujarnya.
Setelah ibadah umrah dibenar dilakukan semula, Md. Daud juga mendapati, hampir sekali ganda jemaah yang ke Tanah Suci dan pihaknya perlu mencari kapal terbang untuk menghantar pelanggan.
Dari sudut penerbangan, harga akan naik kerana setelah dua tahun tidak beroperasi dan apabila pesawat yang ingin terbang semula memerlukan penyelenggaraan yang memerlukan kos tertentu. Ini juga memberi kesan kepada kenaikan tersebut.
Apabila penawaran sedikit, sedangkan permintaan banyak, harga pasti akan naik.
Malah, pelanggan yang telah melakukan tempahan tidak akan mengundurkan diri dan mereka sanggup membayar pada harga tinggi.
Jika mereka menangguhkan perjalanan ini, mungkin harga pada masa depan semakin meningkat.