KUALA TERENGGANU – Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Itulah yang dilakukan seorang lelaki dan anaknya apabila mengenakan kostum watak animasi bagi menghiburkan orang ramai bagi menambah pendapatan ketika ekonomi mencabar ketika ini.
Mohd. Amirul Alif Jofri, 32, berkata, idea untuk mengenakan kostum Batman, Power Rangers dan Spiderman muncul ketika dia memikirkan untuk menambah pendapatan keluarganya bagi berdepan isu kenaikan harga barang.
Katanya, dia mengambil upah menghiburkan tetamu di majlis-majlis keraian dan mengenakan caj RM100 bagi setiap jam sejak tiga tahun lalu.
“Saya bersyukur kerana sambutan amat menggalakkan dan menerima banyak undangan majlis keraian di luar Terengganu.
“Sekiranya tiada undangan terutama pada hujung minggu, saya mencuba nasib di kawasan tumpuan pelancong di sekitar bandar raya ini seperti di Pantai Batu Burok dan Pasar Besar Kedai Payang,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Kedai Payang di sini semalam.
Menurut bapa dua anak itu, ramai pengunjung terutama kanak-kanak terhibur dengan aksinya memakai kostum animasi dan mahu bergambar dan video bersama.
“Bagi persembahan di tempat awam, saya tidak menetap caj tetap untuk mengambil gambar dan video. Terpulang kepada budi bicara pengunjung terbabit untuk membuat sumbangan.
“Saya cuma bekerja membantu ibu menjual barang permainan di pasar pagi dan malam. Persembahan memakai kostum ini usaha saya untuk menambah pendapatan pada tempoh ekonomi mencabar ini,” katanya.
Mohd. Amirul Alif berkata, kesungguhannya turut menambat hati anak bongsunya, Muhammad Afif Darwis, 8, untuk turut sama menyertainya melakukan persembahan.
Beliau berkata, anak lelakinya tidak segan memakai kostum animasi bagi sama-sama menghiburkan orang ramai.
“Walaupun baru berumur lapan tahun, keyakinan dirinya tinggi dan persembahan kostum animasi juga mengeratkan lagi hubungan kami anak-beranak,” katanya.
Ujar Mohd. Amirul Alif, selain mendapat rezeki, kami gembira melihat keceriaan orang ramai terutama kanak-kanak amat bersama watak animasi kegemaran mereka.