MADIUN, Indonesia – Seorang ibu disyaki membakar bayi yang baru dilahirkannya selepas sakit hati dengan fitnah yang dilemparkan oleh suaminya, lapor portal berita Kompas.com hari ini.
Kejadian berlaku di bandar Madiun, dalam wilayah Jawa Timur. Ketua Polis Madiun, Anton Prasetyo berkata, motif ibu tersebut adalah sakit hati kerana dituduh suaminya bahawa bayi baru lahir itu hasil hubungan curangnya dengan lelaki lain.
Katanya, motif itu diketahui setelah anggota penyiasat menyoal suspek selepas dia ditangkap di dalam sebuah hutan.
Suspek kini menjalani rawatan di sebuah hospital untuk memulihkan keadaan kesihatannya selepas baru saja melahirkan anak.
Pihak polis, katanya, akan melakukan bedah siasat bagi menentukan punca kematian bayi itu.
Dalam pada itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Madiun, Danang Eko Abrianto berkata, bedah siasat dilakukan di Makmal Forensik Nganjuk, manakala keadaan jasad bayi itu sudah hangus terbakar.
Pada malam Isnin lalu, seorang ibu di Madiun, Jawa Timur disyaki membunuh bayi yang baru dilahirkannya dengan cara membakar mangsa di rumahnya. – Agensi