KULIM – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melakukan kerja-kerja pembaikan tebing Sungai Kob yang pecah dalam kejadian banjir kilat di Kampung Padang Limau, Karangan di sini pada Isnin lalu.
Penghulu Mukim Karangan, Bukhairi Idris berkata, kerja-kerja pembaikan tebing melibatkan dua lokasi yang terjejas teruk dan terletak berhampiran rumah penduduk.
“Bagi tebing yang pecah teruk, JPS akan memasang sangkar batu, manakala yang kurang serius akan ditambun dengan tanah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, jumlah mangsa yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Agama Madrasah Ihsaniah Jangkang adalah seramai 18 orang daripada enam keluarga.
“Jumlah mangsa semakin berkurangan dan ada yang sudah pulang bagi membersihkan rumah yang mana cuaca panas sejak kelmarin,” katanya.
Dalam kejadian pada petang Isnin lalu, seramai 32 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS tersebut selepas Kampung Padang Limau dilanda banjir kilat akibat hujan lebat lebih dua jam selain tebing sungai pecah. – KOSMO! ONLINE