PETALING JAYA – “Susahnya mahu cari Menu Rahmah.” Demikian rata-rata komen orang ramai yang masih tercari-cari premis yang menawarkan Menu Rahmah pada harga bawah RM5.
Di George Town, mereka yang ditemui Kosmo! di sini mengatakan, sehingga kini masih sukar untuk mendapatkan juadah nasi putih berlauk ayam atau ikan dan sayur sejurus
diperkenalkan kerajaan baru-baru ini.
Seorang pengguna, Feroz Omar, 56, berkata, dia setakat ini belum lagi menemui premis yang memperkenalkan Menu Rahmah di tengah bandar raya itu.
Menurutnya, dia tidak henti berusaha mencari premis atau gerai makanan yang menawarkan menu itu sejurus diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk dinikmati seisi keluarga.
“Daripada 10 lokasi atau tempat makanan yang dikunjungi di pusat bandar George Town, belum ada satu pun premis yang menaikkan iklan memperkenalkan Menu Rahmah.
“Nilai RM5 ketika ini cukup untuk beli nasi, telur rebus dan sayur. Jika tambah seekor ikan masak sambal, anggaran harganya pula RM5.50 ke atas.
“Memang payah nak jumpa Menu Rahmah. Jika ada, saya memang akan ke situ, apatah lagi keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Arsyad Haris, 49, berharap agar kerajaan atau agensi terlibat menyenaraikan premis-premis yang menawarkan Menu Rahmah di setiap negeri bagi tujuan memudahkan orang ramai terutama keluarga kurang berkemampuan.
“Sekurang-kurangnya kami dapat merasai menu nasi lauk ayam pada harga murah berbanding asal iaitu dari RM8 hingga RM10 sebungkus,” ujarnya.
Di Kuantan, seorang penduduk, Zakaria Ahmad, 57, berkata, meskipun hidangan berkenaan menjadi sebutan dalam media massa, namun sehingga kini dia belum lagi terjumpa kedai yang menawarkannya.
“Saya pun tidak tahu di mana kedai makan yang menawarkan menu ini kerana setiap hari saya singgah makan di kedai biasanya harga dikenakan adalah antara RM9 hingga RM12,” katanya.
Penduduk Felda Tekam Utara di Jerantut, Anuar Rahman, 58, berkata, dia berharap menu dengan harga murah itu dapat diperluaskan ke kawasan luar bandar khususnya di daerah itu.
“Saya masih tercari-cari premis yang menghidangkan Menu Rahmah ketika turun berbelanja di bandar Jerantut sejak dihebahkan baru-baru ini.
“Restoran mamak di Bandar Baharu Inderapura pun tidak tahu mengenai Menu Rahmah untuk makanan tengah hari dan makan malam dan seboleh-bolehnya, restoran mamak ini perlu dipilih menghidangkan Menu Rahmah kerana ia menjadi tumpuan golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Di Ipoh, Seorang kerani, Siti Musliha Mohd. Nur, 34, berkata, dia gembira dengan langkah kerajaan mewujudkan Menu Rahmah, namun ia sukar untuk didapati di sesetengah kawasan.
“Memang benar ada kedai makan yang mengambil inisiatif menjual Menu Rahmah kerana terpanggil dengan seruan kerajaan, namun jumlahnya tidak banyak.
“Sedangkan kita pun tahu golongan B40 cukup ramai. Jadi harapan saya adalah pemilik-pemilik kedai sudi menyediakan Menu Rahmah di premis masing-masing,” katanya.
Seorang pembantu am, Mohd. Zaini Sulaiman, 39, berkata, dia telah mencuba Menu Rahmah di Pasar Raya Mydin di Meru, Ipoh, namun jarak perjalanan rumahnya ke sana lebih 20 kilometer (km).
Disebabkan itu, katanya, faktor jarak perjalanan untuk ke pasar raya tersebut dari kediamannya menjadikan Menu Rahmah tidak berbaloi untuk dibeli.
“Menu itu baik, namun kos untuk ke pasar raya itu perlu difikirkan juga. Jadi bagi saya jika jarak restoran yang menjual Menu Rahmah kurang dari 10km, barulah berbaloi membelinya,” katanya.
Di Kuala Lumpur, tinjauan di sekitar Lembah Pantai, Bangsar dan di beberapa kawasan Petaling Jaya mendapati, penyediaan Menu Rahmah masih terhad dan sukar untuk diperolehi.
Seorang kakitangan awam, Fazura Yusoff, 40, berkata, di sekitar Lembah Pantai, menu itu belum disediakan oleh mana-mana restoran.
“Buat masa ini saya tidak tahu di mana untuk dapatkan Menu Rahmah ini, sebelum ini saya cuba dan hanya perolehinya di Subang Jaya.
“Bagi saya di kawasan ini terutamanya kawasan bandar besar dan tumpuan, Menu Rahmah perlu diperbanyakkan sebab di kawasan-kawasan seperti inilah perbelanjaan penduduknya agak tinggi,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE