KALAU berkelapangan dan punya masa yang lebih, silalah pinjamkan beberapa deria menonton siri popular HBO berjudul The White Lotus.
Secara peribadi, penulis berani menyifatkan siri atau drama arahan Mike White tersebut merupakan antara karya terbaik yang pernah disaksikan beberapa tahun kebelakangan ini.
Pelik yang tidak tahu bagaimana untuk dirungkaikan, namun yang pasti sangat menghiburkan dan memberi dampak positif terhadap daya tontonan. Jennifer Coolidge, anda memang pelakon luar biasa!
Penulis sudah ikut perjalanan kariernya sedari zaman American Pie hinggalah sekarang. Akhirnya, dunia mengakui bahawa dirinya memang seorang pelakon berwibawa dengan deretan trofi dimenanginya disebabkan karakter Tanya McQuoid.
Perkembangan karakter saksama
Sungguhpun begitu, Mike White tidak melupakan karakter-karakter lain seperti Armond lakonan Murray Bartlett, Nicole Mossbacher (Connie Britton) dan Rachel Patton (Alexandra Daddario). Dengan mengatakan perkara tersebut, terjemahan atau perkembangan karakter The White Lotus sangat-sangat memberikan kesan tersendiri.
Plotnya sangat mudah difahami. Bagaimanapun, terselit banyak kompleks yang diringkaskan dengan kemas secara perlahan-lahan dari satu episod ke episod yang lain.
Banyak pusingan plot atau plot twist yang didedahkan seperti penulis tuliskan pada perenggan terdahulu.
Watak Tanya misalnya lebih daripada sekadar seorang wanita bermasalah yang baru sahaja kematian ibu tersayang dan mencari kedamaian hidup.
Begitu juga dengan watak-watak lain termasuklah Quinn Mossbacher, Shane Patton dan beberapa karakter penting lain.
Skor, naratif kompleks
Apa yang membuatkan siri atau drama ini begitu menarik antara lainnya adalah skor muzik yang diadun. Kalau seseorang itu pengsan, tidak mustahil akan bangkit dari fasa tersebut hanya disebabkan skor muzik yang digunakan dalam The White Lotus.
Dari segi naratif, apa yang boleh dirungkaikan bak kata orang Inggeris, expect the unexpected. Ada banyak perihal yang bukan hanya divisualkan dalam bentuk fiksyen, namun sangat memberi korelasi kepada penonton.
Sebagai contoh, realiti bahawa anak-anak muda sekarang ramai yang terjerumus dalam masalah sosial yang membelenggu contohnya pornografi dan dadah. Itu semua berlaku kerana kurangnya perhatian daripada orang tua.
Perihal tersebut dicernakan menerusi karakter Quinn Mossbacher dan Olivia Mossbacher.
Itu sedikit sebanyak ulasan tentang The White Lotus yang bukan hanya menghibur tetapi memberi pengajaran buat para penonton.
Barangkali untuk tatapan umum kurang bersesuaian namun buat mereka yang berfikiran terbuka, siri tersebut memang antara yang terbaik pernah dilahirkan Hollywood sejak kebelakangan ini.
Ada dua musim dan akan dilanjutkan untuk musim ketiga. Disambung kontrak sebab memang perform’ bukan sahaja dari segi jualan, tetapi kualiti yang turut dihadirkan bersama.