PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin Covid-19 serta kos berkaitan yang dikesan tidak mengikut peraturan pada sidang Parlimen yang akan berlangsung bulan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menteri terlibat dipercayai menandatangani pembelian vaksin ketika tempoh pandemik bagi tujuan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICk) tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.
“Kita mendapati (pembelian dan kos vaksin) tidak mengikuti peraturan, transaksi yang diluluskan tidak mematuhi proses sebenar.
“Sebahagian perolehan vaksin menimbulkan persoalan berhubung angka dan kos. Perkara ini perlu dibentangkan di Parlimen,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra tadi.
Katanya, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa akan memberikan perincian secara lanjut berhubung perkara itu kelak. – KOSMO! ONLINE