MALANG tidak berbau buat kumpulan OnlyOneOf apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas kenderaan yang dinaiki terbabas semasa mengadakan promosi di Jepun.
Pihak agensinya, 8D Creative mengesahkan kesemua ahli berada dalam keadaan baik dan sedang berehat.
Biarpun tiada kecederaan, mereka tetap menangguhkan acara berjumpa peminat secara dalam talian.
Setelah dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut ketika pulang ke Korea, kesemua ahli kumpulan itu juga disahkan tidak mengalami sebarang masalah.
Bagaimanapun, keenam-enam anggota itu akan berehat sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan.
Pihak agensi turut memohon maaf kerana mencetuskan kebimbangan dan berjanji akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kesihatan dan keselamatan kumpulan itu terjaga.