PELAKON Choi Jung-won mengambil tindakan menyaman individu lelaki yang mendakwanya mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita.
Peguam Jung-won dalam satu kenyataan menjelaskan, tindakan saman terpaksa diambil memandangkan fitnah tersebut memecah-belahkan keluarganya.
“Saya merupakan wakil dari firma Hyunmyeong. Anak guam saya menghabiskan hari-harinya yang menyakitkan sejak Januari lalu selepas individu A menuduhnya mempunyai hubungan sulit.
“Secara ringkasnya, Jung-won berkawan baik dengan B iaitu isteri kepada A sejak berusia awal 20-an dan mereka tiada sebarang hubungan.
“Baru-baru ini mereka berkongsi makanan buat pertama kali, tetapi sejujurnya mereka tiada hubungan,” kata wakil guaman tersebut.
Dalam sebuah video YouTube baru-baru ini, A menuduh Jung-won dengan kata-kata hinaan untuk menjelaskan sesuatu yang tidak pernah berlaku.
Pada awalnya, pelakon berusia 42 tahun itu tidak ambil endah tuduhan si A memikirkan reputasi baiknya selama ini, namun selepas membaca sesi temu bual wanita berkenaan bersama wartawan, Jung-won sedar kenyataan tersebut adalah palsu.
Jung-won juga menerima banyak mesej ugutan daripada A menggunakan akaun media sosial peribadinya.
Selepas saman difailkan, si A kemudiannya tampil menulis permohonan maaf atas kenyataan palsu terhadap Jung-won.