KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, mesej lewat malam di antara seorang bekas pegawai bank dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Teik Jho atau Jho Low bukan berkaitan hal peribadi.
Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, 51, sebaliknya berkata, perbualan itu bertujuan membincangkan pemindahan wang RM5 juta melalui cek kepada UMNO selain memastikan wang tersebut mencukupi.
Menurut saksi pendakwaan ke-41, perbualan menerusi Blackberry Messenger (BBM) itu berlaku pada 21 Ogos 2014 di antara pukul 12.41 pagi dan 11.36 pagi.
Sehubungan itu, Joanna menegaskan perbualan lewat malam itu bukan untuk faedah beliau mahupun Jho Low, sebaliknya untuk kepentingan UMNO serta memastikan cek yang akan dimasukkan bukan cek tendang.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada sesi pemeriksaan semula, Joanna menyatakan, beliau pernah mengunjungi kediaman mewah Jho Low di ibu negara beberapa kali namun kunjungan itu berkaitan urusan kerja.
Beliau menegaskan, perbualan mahupun pertemuan dengan ahli perniagaan itu tidak sesekali melibatkan hal peribadi.
Ujar saksi, meskipun beliau pernah mengunjungi Jho Low di kediamannya, mereka tidak pernah berdua-duaan, namun akan ditemani oleh orang lain dan semata-mata bagi membincangkan urusan kerja dan perbankan.
Isu berkaitan hubungan Joanna dan Jho Low dibangkitkan oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengendalikan sesi pemeriksaan balas. – KOSMO! ONLINE