fbpx

Mahkamah: Pekerja kilang didakwa guna kad pengenalan palsu beli motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH (kiri) dibawa keluar daripada mahkamah selepas didakwa menggunakan kad pengenalan palsu bagi membeli motosikal di Temerloh.

TEMERLOH – Seorang pekerja kilang didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh di sini hari ini atas pertuduhan menyamar dan menggunakan kad pengenalan palsu bagi membeli sebuah motosikal pada Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Herman Yusof, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tan Chiew King.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan kesalahan menipu dengan samaran menggunakan identiti Faisal Hanif Rusli untuk membuat pembelian sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR pada 23 Ogos tahun lalu pada pukul 1.20 petang di Temerloh.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen palsu iaitu kad pengenalan atas nama Faisal Hanif Rusli atas kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Bagi kedua-dua kertas pertuduhan yang dibaca terhadap Herman, Majistret menetapkan wang jaminan keseluruhan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap Isnin pertama setiap bulan.

Sementara itu, seorang lagi pekerja kilang, Hermawati Arif, 29, turut didakwa bersuhabat membantu Herman untuk mendapatkan dan memiliki kad pengenalan palsu atas nama Faisal Hanif Rusli di antara Januari hingga Disember 2017 di sebuah kilang kayu getah di Mentakab.

Bagaimanapun, Hermawati mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret yang sama.

Majistret membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin pencagar dan mahkamah kemudian menetapkan pada 22 Mac depan sebutan semula dan pengurusan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI