SUNGAI PETANI – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun mendakwa dirinya dirogol beberapa lelaki selepas keluar dengan rakan yang dikenali menerusi aplikasi sosial, Omi pada 4 Februari lalu.
Ketika kejadian, remaja berkenaan turut membawa bersama adik perempuannya yang berusia enam tahun sebelum mengikuti suspek gara-gara terpedaya dengan satu tawaran kerja di sebuah kedai runcit selain pujuk rayu yang diberikan
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa mendakwa berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Hazeq menerusi Omi pada Disember tahun lalu.
“Kemudian pada 4 Februari lalu, Hazeq bersama seorang rakan mengambil mangsa yang turut membawa adiknya untuk melihat sebuah kedai runcit di Gurun milik kawannya bernama Sha yang dikatakan memerlukan pekerja.
“Ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah. Mangsa seterusnya mengikuti lelaki itu bersiar-siar lebih sejam di Gurun sebelum dibawa ke sebuah rumah di Bedong dekat sini,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa mendakwa dia dan adiknya dikurung di dalam sebuah bilik yang berkunci dari luar tanpa diberikan makan dan minum selama sehari.
“Ketika dikurung, mangsa mendakwa terdengar perbualan Hazeq bersama beberapa rakan yang bercadang untuk menjualnya ke Pulau Pinang.
“Mangsa hanya diberikan makanan pada hari kedua dan selepas menjamah makanan itu mangsa tidak sedarkan diri sebelum menyedari diri dalam keadaan bogel dan dirogol,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE