PETALING JAYA – Demokrasi tetap subur dalam UMNO meskipun tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi berkata, ketetapan tiada pertandingan dua jawatan tersebut diputuskan secara demokratik oleh Perhimpunan Agung UMNO 2022.
“Ia diundi. Tidak sampai 60 orang yang membantah (daripada 2,000 perwakilan). Dalam demokrasi ada pengundian. Menang dengan majoriti satu undi pun adalah demokratik.
“Tidak ada siapa boleh ‘claim’ definisi demokrasinya adalah tulin. Demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan juga adalah demokrasi mengikut acuan Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Mohd. Puad seterusnya berkata, pemecatan dan penggantungan juga adalah demokrasi dan ia diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO setelah dicadangkan lembaga disiplin.
“Ada yang tidak mahu merayu, mereka itulah yang menolak demokrasi,” katanya lagi.
Tambah beliau, UMNO ketika ini tetap meriah dengan ramai menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden, ketua sayap, ketua bahagian dan juga di peringkat ketua cawangan.
“Siapa kata demokrasi sudah mati dalam UMNO,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE