fbpx

Belanjawan 2023: Mahu yakin pelabur, beri rahmah kepada rakyat – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan MOF di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Kerajaan kini sedang sibuk menyediakan rangka Belanjawan 2023 di mana ia akan memberi fokus untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi keyakinan pelabur seterusnya berupaya memberi rahmah kepada rakyat secara menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mahu memberi mesej jelas bahawa penyediaan belanjawan berkenaan bukan sahaja mengambil kira kedudukan ekonomi mencabar, tetapi sesuatu yang boleh memacu pertumbuhan serta meyakinkan pelabur.

“Ini satu cabaran yang sangat rumit di mana kita boleh meyakinkan golongan kaya untuk melabur dan kumpulan miskin mendapat faedah kerana kadang-kadang ada pembenturan idea. Jadi, dasar perimbangan penting kerana ia asas dalam al-Quran.

“Kalau semua ini diimbangi, itu contoh terbaik manusia bagaimana kita dapat terjemah Madani. Kita sebut Madani, mahu pacu pertumbuhan, tetapi tidak peduli ihsan, rahmah, ia tidak mungkin tercapai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan di sini tadi.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, fokus kerajaan ketika ini bukan melibatkan soal kaum atau daerah, tetapi terarah kepada kumpulan rakyat.

“Kalau dia miskin tegar, dia bukan angka. Di Kementerian Kewangan hidup dengan angka, data dan statistik, tapi jangan dia pukau kita, umpanya statistik miskin tegar dahulu 30 peratus, sekarang lima peratus dan kita kata kejayaan besar.

“Benar, kalau Datuk Johan (Timbalan Ketua Perbendaharaan, Dasar) masuk kategori lima peratus itu, tentu tidak menyenangkan beliau. Kita mesti cari jalan untuk memberikan sedikit keselesaan kepada mereka.

“Angka, data dan statistik penting, tetapi jangan memukau serta beri keselesaan kerana kalau kita masuk kategori itu, mungkin tidak akan maafkan sistem. Saya tidak mahu merasa tidur nyenyak, kalau orang merasa tersisih serta tidak dipedulikan pemimpin negara,” katanya.

Susulan itu, Anwar berharap pihaknya dapat mendepani beberapa masalah dalam Belanjawan 2023 seterusnya tidak berselindung dan memberikan kenyataan samar kepada rakyat.

“Kalau ada masalah hutang sekian, beritahu. Masalah kita harus hadapi bersama, keperitan ini jelaskan dan kemudian beritahu beberapa tindakan yang mahu dicadangkan atau diusulkan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI