PETALING JAYA – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menerima sembah menghadap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu lawatan rasmi di Brunei hari ini.
Menerusi satu kenyataan oleh Kementerian Pertahanan, pertemuan yang berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bengawan itu adalah bagi membincangkan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Brunei.
Pada masa sama, Mohamad juga menghantar jemputan kepada Baginda untuk melawat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) yang akan diadakan pada 23 hingga 27 Mei depan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan Negara Brunei Darussalam, Brig Jen (B) Datuk Seri Pahlawan Abdul Razak Abdul Kadir.
Terdahulu, Mohamad membuat panggilan dengan Abdul Razak untuk mengukuhkan pertahanan dan hubungan ketenteraan bagi meningkatkan kerjasama Malaysia dan Brunei.
“Kedua-dua Menteri mengakui bahawa lawatan rasmi ini adalah bukti ikatan yang kukuh dan dinamik hubungan pertahanan antara kedua-dua negara.
“Malaysia dan Brunei berkongsi hubungan yang telah lama terjalin dan kunjungan Mohamad telah memberi peluang untuk memperdalamkan lagi perkongsian strategik,” katanya. – KOSMO! ONLINE