PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengesahkan tiada warga Malaysia di Syria yang terjejas ekoran tempias gempa yang dahsyat dari Turkiye semalam.
Menerusi kenyataan di sini hari ini, beliau memaklumkan perkara itu disahkan sendiri oleh pejabat Konsul Kehormat Malaysia di ibu kota, Damsyik kepada pihak Wisma Putra.
“Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang masih berada di Syria dinasihatkan kekal tenang dan mengikuti segala perkembangan terkini daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Semalam, gempa berukuran 7.8 skala Magnitud melanda barat bandar raya Gaziantep di Turkiye berdekatan sempadan Syria pada pukul 4.17 pagi (9.17 pagi waktu Malaysia).
Media melaporkan setakat ini lebih 3,400 orang maut dan 20,500 lagi cedera di Turkiye manakala lebih 1,600 pula disahkan terbunuh dan 3,600 lagi cedera di sekitar Syria.- KOSMO! ONLINE