Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT
KLUANG – Dua kediaman teres dua tingkat terbakar dalam dua kejadian berasingan di Simpang Renggam di sini dan Muar pada malam tadi serta awal pagi hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan dan mangsa.
“Bagi kes pertama bomba menerima panggilan pada pukul 9.40 malam, 19 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam bergegas ke Jalan melati 4, Taman Layang-layang, Simpang Renggam menggunakan sebuah jentera dan kenderaan dari PBS Layang-layang.
“Kejadian kebakaran pertama melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat yang berkeluasan 70 kaki x 26 kaki x 28 kaki telah terbakar 40 peratus,” katanya.
Dalam kejadian kebakaran yang kedua, bomba menerima panggilan pada pukul 5.53 pagi dan seramai 23 anggota dan pegawai BBP Muar bergegas ke Taman Junid Indah, Muar bersama lima jentera.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal dua tingkat berkeluasan 40 kaki x 80 kaki telah terbakar lima peratus.
“Kebakaran melibatkan sebuah bilik tidur di tingkat bawah. Kebakaran turut melibatkan sebuah kereta Toyota Vellfire telah terbakar 90 peratus dan sebuah kereta jenis Mercedez Benz telah terbakar 20 peratus di ruang parkir hadapan rumah tersebut,” katanya.
Menurut kenyataan itu, PKO bertindak memadam kebakaran menggunakan sumber air pam jentera Water Tanker BBP Muar dan 2 aliran salur bantu mula jentera sehingga kebakaran padam sepenuhnya.
Jelasnya, punca kebakaran kedua-dua kejadian itu masih dalam siasatan. – K! ONLINE