Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SHAH ALAM – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Petaling mengesan waris seorang kanak-kanak lelaki yang diserahkan kepada penjaganya sejak dua tahun lalu.
Kanak-kanak berusia dua tahun itu dikenali sebagai Suleiman Rau’uf Syaiful Baharim yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Jurucakap JKM berkata, perkara itu dirujuk kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling bagi proses penjagaan Suleiman.
“Namun, kanak-kanak itu tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan menyukarkan penjaga untuk melakukan sebarang urusan rasmi.
“Justeru, kita memohon bantuan untuk mengesan waris termasuk ibu kandung dipercayai wanita Melayu yang kali terakhir dilihat ketika penyerahan kanak-kanak itu di Kuala Selangor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurutnya, JKM perlu menjalankan siasatan untuk membantu kanak-kanak itu mendapat dokumen pengenalan diri selaras dengan Konvensyen Akta Kanak-Kanak 2001.
“Suleiman kini berada di bawah jagaan sementara dan kawalan Orang Yang Layak dan Sesuai dengan perintah Mahkamah Kanak-Kanak Petaling Jaya.
“Kita berharap mana-mana waris tampil bagi membantu menguruskan hal penempatan, persekolahan dan pengurusan dokumen,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling di talian 03-78422584 / 03-78422587/ 013-5830419 untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE