JOHOR BAHRU – Setelah hampir tiga tahun tidak dapat dianjurkan angkara Pandemik Covid-19, Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2023 (FLLSPG 2023) kali ke-25 bakal diadakan selama lima hari bermula 22 hingga 26 Februari ini.
Bertemakan Layangkasa Dinamik, FLLSPG 2023 yang menyambut usia Jubli Perak bakal disertai 716 peserta tempatan dan antarabangsa termasuklah Brunei, Kemboja, Indonesia, Austria, Republic Czech, New Zealanda dan Tahiti.
Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Datuk A. Rahim Nin berkata, FLLSPG 2023 akan mendapat pengiktiran Malaysia Book Of Records (MBOR).
“Dalam festival kali ke-25 ini diserikan dengan acara menaikkan wau tradisional Malaysia oleh 25 peserta antarabangsa secara serentak dijangka diadakan pada 25 Februari (Sabtu) 3 petang di Bukit Layang-Layang.
“Ini merupakan simbolik kepada penganjuran kali ke-25 yang menjangkau usia Jubli Perak, festival kali ini bakal mencatat rekod dalam Malaysia Book of Record.
“Menariknya, wakil antarabangsa akan memakai busana tradisi negara kita semasa menaikkan wau tradisional,”katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Prapelancaran FLLSPG 2023 di Atrium Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang di sini hari ini.
A. Rahim berkata, festival ini merupakan anjuran bersama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Persatuan Pelayang Johor (PPJ) dan Majlis Pelayang Malaysia (MPM) dengan kerjasama Tourism Johor, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor (JKNNJ) serta Persatuan Pelancongan Pasir Gudang.
Ujarnya, pihak penganjur menjangkakan hampir 350,000 pengunjung dari dalam negara dan luar negara akan berkunjung ke Pasir Gudang sempena festival kali ini.
FLLSPG mula diperkenalkan pada tahun 1995 merupakan satu acara tahunan berprestij selain disenaraikan dalam kalendar Pelancongan Negeri Johor khususnya dan Malaysia amnya.-KOSMO! ONLINE