ANKARA – Pasukan penyelamat di Turkiye dan Syria berdepan kegelapan, cuaca sejuk beku, gegaran susulan dan risiko bangunan runtuh ketika mereka melakukan penggalian untuk mengeluarkan mangsa gempa bumi yang tertimbus.
Gempa berganda yang menggegarkan dua negara berjiran itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 4,800 penduduk.
Agensi-agensi bencana berkata, beribu-ribu bangunan diratakan di sebilangan bandar yang terletak di rantau sempadan di Turkiye dan Syria.
Di Syria pula, kemusnahan yang berlaku menambahkan lagi kesengsaraan penduduk yang menderita akibat perang, pemberontakan, krisis pelarian dan terbaharu, wabak taun.
Sepanjang malam, mangsa terselamat menggunakan tangan kosong untuk mengalihkan serpihan konkrit blok apartmen yang runtuh dalam usaha menyelamatkan keluarga, rakan dan sesiapa sahaja yang terperangkap selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 berlaku awal kelmarin.
“Di mana ibu saya?” tanya seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun selepas ditarik keluar dari celah bangunan runtuh di Hatay, selatan Turkiye. Muka, rambut dan baju tidurnya diliputi habuk.
Perasaan tidak percaya masih tebal dalam kalangan penduduk selepas bencana berlaku.
“Kami fikir ini adalah kiamat,” kata Melisa Salman yang merupakan, seorang wartawan berusia 23 tahun di bandar Kahramanmaras, tenggara Turki.
Kemusnahan paling teruk berlaku berhampiran pusat gempa antara bandar Kahramanmaras dan Gaziantep. Di bandar Gaziantep yang didiami sekitar dua juta penduduk, keseluruhan bangunan di beberapa lokasi kini bertukar menjadi runtuhan yang diliputi salji.
Ketika penduduk cuba membersihkan batu, papan dan perabot yang menimbun daripada runtuhan sebuah bangunan bertingkat, sebuah lagi bangunan ‘rebah’ ke bumi secara tiba-tiba, mengakibatkan orang ramai bertempiaran lari menyelamat diri.
Suasana bertambah cemas setiap kali gempa susulan berlaku di kawasan terjejas. Ramai mangsa yang ketakutan dan keletihan, terpaksa menghabiskan masa sepanjang malam dengan berada di luar bangunan kerana takut untuk pulang ke rumah.
Ada antara mereka berlindung di bawah perhentian bas, manakala sebilangan lagi membalut diri menggunakan plastik bagi mengurangkan kesejukan, malah ada penduduk terpaksa membakar sisa runtuhan untuk memanaskan badan.
Seorang penduduk, Mustafa Koyunc bersama isteri dan lima anaknya terpaksa berhimpit di dalam kereta mereka yang diletakkan di tepi jalan.
“Kami tidak mahu pulang ke rumah. Semua orang berada dalam ketakutan,” kata lelaki berusia 55 tahun itu kepada AFP.
Agensi bantuan Turkiye, AFAD dalam kemas kini terbaharunya melaporkan bahawa angka kematian di negara itu adalah seramai 3,381 orang, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa terkorban di Turkiye dan Syria meningkat kepada 4,890 orang setakat petang semalam (waktu Malaysia).
Kebimbangan makin mencengkam apabila angka korban diramal meningkat jauh lebih tinggi dengan pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan bahawa sehingga 20,000 orang dikhuatiri terbunuh..
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) kelmarin berkata, gempa bumi pertama berlaku pada pukul 4.17 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman kira-kira 18 kilometer.
Gempa pertama amat kuat sehinggakan gegarannya boleh dirasai di Greenland dan disusuli dengan beberapa siri gempa susulan. Satu lagi gempa kuat berukuran 7.5 pada skala Richter berlaku ketika misi mencari dan menyelamat berlangsung beberapa jam kemudian.
Impak kemusnahan yang berlaku amat teruk sehingga mencetuskan tindak balas global dengan puluhan negara dari Ukraine hingga ke New Zealand berikrar untuk menghulurkan bantuan.
– AFP