Nilai integriti dilihat semakin pudar dalam kalangan segelintir syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk membantu kerajaan menerusi penyaluran dana atau bantuan kerajaan kepada golongan memerlukan.
Kewujudan dana seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bertujuan membantu rakyat yang terkesan dek tekanan ekonomi sepanjang pandemik Covid-19 serta meningkatkan potensi diri masyarakat.
Ini kerana sebilangan rakyat terkesan dan terbeban dengan isu kehilangan pekerjaan, pengangguran, masalah perniagaan, malah ada perniagaan yang terpaksa ditutup ekoran keadaan ekonomi secara umumnya tidak berkembang seperti biasa.
Justeru, kerajaan memperkenalkan dana, pinjaman, moratorium, latihan kemahiran, bantuan kewangan khas dan sebagainya bertujuan membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Bagaimanapun, wujud segolongan individu, syarikat dan pertubuhan yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan atas hak serta kesengsaraan rakyat terkesan.
Mereka ini secara terang-terangan mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan palsu bagi memperoleh dana-dana disediakan oleh kerajaan untuk kekayaan sendiri.
Inilah sikap ‘buaya-buaya’ ekonomi di skala kecil dan sederhana. Nilai integriti semakin pudar dan tamak haloba menjadi budaya.
Kesannya, golongan pekerja dibuang, mahasiswa menganggur, peniaga-peniaga terpaksa menutup perniagaan yang sepatutnya menerima faedah serta bantuan dipinggirkan begitu sahaja.
Inilah satu bentuk ketirisan yang harus diperbetulkan kerajaan. Tiada guna dasar yang cantik tetapi pelaksanaan yang gagal.
Terlalu banyak kelemahan yang berlaku hingga mewujudkan ruang dan peluang penyelewengan.
Antaranya adalah kelemahan dalam proses semakan terhadap ketulenan maklumat yang dikemukakan pemohon (individu, syarikat, pertubuhan).
Ini menyebabkan ada beberapa syarikat yang dimiliki orang sama membuat tuntutan.
Kedua, isu darurat (kecemasan) digunakan sebagai alasan untuk tidak membuat due diligence terhadap pemohon.
Dikatakan jika terlalu tegar (rigid) akan dijadikan alasan karenah birokrasi.
Ketiga, tiada mekanisma jelas untuk memantau program atau aktiviti yang sedang dijalankan untuk memastikan ia benar-benar dilaksanakan dengan jumlah peserta yang tepat.
Agensi hanya bergantung kepada laporan program atau aktiviti yang dikemukakan pemohon sahaja.
Keempat, tiada peraturan dan undang-undang jelas untuk diambil tindakan terhadap pemohon seperti senarai hitam, saman sivil dan tuntutan semula dana yang tidak dibelanjakan.
Agensi-agensi yang disalurkan dana ini pula harus sentiasa dipantau.
Key Performance Indicator (KPI) bukan terhadap jumlah individu yang telah menerima bantuan dan dana (kewangan) telah disalurkan kerajaan.
Semua KPI itu hanya bersifat kuantiti semata-mata.
Perkara yang perlu dijadikan KPI adalah impak atau outcome kepada aktiviti dan program tersebut.
Maka, barulah hasrat mengurangkan pengangguran dan jumlah perniagaan yang bermasalah serta mengembangkan kemahiran golongan pekerja dapat dicapai.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat isu penyelewengan dan ketirisan dana dan bantuan seumpama ini sebagai isu yang penting.
Sebagai contoh, hasil kerjasama antara SPRM dan agensi serta kementerian terlibat menerusi operasi khas sepanjang tahun lalu, seramai 133 individu terdiri daripada pemilik dan pengarah syarikat telah ditangkap di seluruh negara.
Lebih daripada 100 syarikat telah disiasat melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM194 juta.
Sehingga hari ini seramai 34 pemilik atau pengarah syarikat telah didakwa di mahkamah atas kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.
Pada tahun ini, SPRM akan terus memberikan tumpuan terhadap isu ketirisan dan penyelewengan dana termasuk dalam sektor sumber manusia, kebajikan, automotif, pendidikan, pengajian tinggi, penternakan, pertanian serta perladangan.
DATUK SERI AHMAD KHUSAIRI YAHAYA ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia