fbpx

Tahap keyakinan rakyat jadi gambaran nilai integriti penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivakumar.

PUTRAJAYA – Malaysia perlu meneruskan serta mempertingkatkan usaha juga pelaksanaan aktiviti anti rasuah bagi mewujudkan persekitaran bebas rasuah dalam sektor awam dan swasta.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, dengan perubahan zaman yang ketara, rakyat kini lebih giat memerhati dan menghakimi kualiti perkhidmatan kerajaan serta agensi-agensinya.

Menurutnya, keruntuhan nilai integriti dalam kalangan pegawai awam khususnya pegawai penguatkuasa akan menjejaskan imej serta keyakinan masyarakat kepada sesebuah agensi.

“Integriti merupakan kualiti asas yang perlu ada dalam jiwa setiap penjawat awam, maka adalah amat penting untuk kita mula mendengar dan meneliti cadangan serta aduan yang dipanjangkan oleh rakyat supaya perkhidmatan awam kekal relevan dan berkualiti tinggi.

“Perkara tersebut akan menjurus kepada pembentukan persepsi yang jauh lebih baik sekali gus menambah baik skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara di masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Pencegahan Rasuah Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di sini, hari ini.

Sivakumar memaklumkan, CPI negara pada tahun 2022 naik dari tangga 62 ke 61 daripada 180 buah negara, namun indeks yang dikeluarkan Transperancy International menunjukkan ukuran skor Malaysia menurun satu mata kepada 47 berbanding 48, pada tahun sama.

Beliau berkata, kebiasaannya indeks CPI digunakan oleh para pelabur antarabangsa untuk memutuskan sama ada mahu membuat pelaburan atau sebaliknya di negara berkenaan.

“Ini kerana semakin tinggi kedudukan sesebuah negara dalam senarai penarafan ini, semakin cekap prestasi perkhidmatan awam di negara tersebut, sekali gus memberi kesan baik ke atas penarafan keseluruhan daya saing negara,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Sivakumar berkata, usaha pencegahan rasuah HRD Corp dilaksanakan menerusi pengenalan tiga dokumen teras iaitu perakuan integriti, HRD Corp Governance Report (2017-2022) dan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) 2021-2025 yang selaras dengan Pelan Pencegahan Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

“OACP PSMB ini dibangunkan dengan mengambil kira situasi kini dan masa hadapan organisasi dengan visi untuk melahirkan warga HRD Corp yang berintegriti dan bebas rasuah.

“Kerangka ini menggariskan empat objektif strategik yang memberi fokus kepada tadbir urus, pentadbiran, perolehan dan penguatkuasaan.

“Sebanyak 27 inisiatif strategik telah dikenal pasti di bawah pelan ini bagi membendung sebarang salah laku rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan seterusnya memperkasakan tadbir urus terbaik dan berintegriti di HRD Corp,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI