BESUT – Seorang bekas banduan bagaikan tidak serik apabila ‘berhati kering’ menubuhkan semula kumpulan penjenayah dikenali Geng Amri sebaik dibebaskan dari penjara pada kira-kira empat bulan lalu.
Geng Amri dipercayai aktif memecah rumah di sekitar Kampung Raja dan Kuala Besut di sini sepanjang bulan Disember dan Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohammad berkata, keghairahan geng pecah rumah tersebut melakukan jenayah berkenaan akhirnya berjaya dihentikan polis baru-baru ini.
Beliau berkata, tiga anggota kumpulan penjenayah terbabit termasuk ketuanya dikenali sebagai Amri berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an berjaya diberkas dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada 30 dan 31 Januari lalu.
“Serbuan terbabit telah berjaya menemui sebahagian barangan berharga disyaki dicuri bernilai keseluruhan kira-kira RM17,000.
“Antara barangan yang dijumpai semula ialah beg tangan, barangan kemas dan telefon bimbit,” katanya di sini hari ini.
Abdul Rozak berkata, siasatan awal percaya kumpulan tersebut terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah di sekitar Kampung Raja dan Kuala Besut.
Tambah beliau, dua daripada tiga suspek termasuk Amri yang baru dibebaskan dari penjara pada bulan November lalu masing-masing memiliki enam dan lapan rekod jenayah lampau.
“Ujian urin juga mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine. Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE