fbpx

KPDN akan wujudkan direktori restoran sedia Menu Rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FUZIAH (tiga dari kanan) melawat francais Restoran Nasi Ayam Papa di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mewujudkan direktori restoran yang menyediakan Menu Rahmah di seluruh negara.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, pada masa ini pihak KPDN sedang mengenal pasti platform untuk meletakkan direktori restoran yang mempunyai Menu Rahmah.

“Setakat ini di Pahang sahaja sebanyak tiga persatuan bekerjasama menjalankan Menu Rahmah iaitu Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusahaan Tomyam Malaysia (PERTOM) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRISMA).

“Kalau restoran mamak sahaja kita ada 12,500 buah, restoran tomyam tidak terkira dan restoran India ada sekitar 4,000 di Wilayah (Kuala Lumpur) sahaja, kesemua ini akan diletakkan dalam direktori itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas program lawatan kerja di Restoran Nasi Ayam Papa di sini, hari ini.

Fuziah berkata, pihak kementerian mendapati program Menu Rahmah mendapat sambutan yang amat menggalakkan di seluruh negara.

Justeru beliau berharap ianya turut mendapat kerjasama dari semua peniaga termasuklah di medan selera, kopitiam dan kedai-kedai makan lain.

“Kita tahu ramai rakyat susah sekarang kerana kos sara hidup yang semakin meningkat bukan sahaja melibatkan makanan, malah juga melibatkan kesihatan, tempat tinggal, barangan keperluan, bil-bil, pendidikan dan banyak lagi.

“Kementerian bertanggungjawab akan sentiasa bekerjasama berhubung dengan kementarian-kementerian lain dan juga industri-industri untuk memastikan kos sara hidup dapat kawal,”katanya.

Sementara itu, Fuziah memberitahu, KPDN menyasarkan jumlah pemilik francais di seluruh negara dapat ditingkatkan antara 20 hingga 30 peratus menjelang hujung tahun ini.

“Pahang ada sembilan pemilik francais dan 27 pemegang francais, paling terkini Nasi Ayam Papa yang menawarkan tiga bentuk pakej iaitu pakej restoran, pakej ekspres dan pakej kiosk.

“Pakej kiosk yang ditawarkan merupakan pakej paling murah dan mampu milik yang mana KPDN amat memberikan sokongan atas usaha ini dan akan membantu dari sudut memudahkan kelulusan geran atau pembiayaan yang dimohon peniaga,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI