Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki diberkas polis selepas lima jam melakukan jenayah pecah rumah dan mencuri kenderaan di Taman Puteri Wangsa, di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9 malam hari yang sama.
Menurutnya, polis menerima aduan daripada seorang lelaki pada pukul 5.40 petang menyatakan rumah rakannya yang bekerja di Singapura telah dipecah masuk.
“Pengadu menyedari kehadiran suspek ketika dia menghidupkan enjin kenderaan sebelum melarikan kereta tersebut bersama barangan berharga.
“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis daripada IPD JBS telah melancarkan Ops Lejang kira-kira pukul 9 malam dan telah berjaya menangkap seorang lelaki berusia 35 tahun di Taman Puteri Wangsa.
“Hasil tangkapan ini telah membawa kepada rampasan sebuah kereta yang dilaporkan hilang. Turut dirampas ialah pelbagai barangan elektrik yang dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Padzli berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan beberapa kes dadah.
“Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Polis memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh menghubungi talian hotline IPD JBS 072182323,” katanya. – K! ONLINE