KUALA PILAH – Seorang lelaki warganegara Indonesia mengaku salah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, di sini, atas tuduhan menipu warga emas untuk membeli batu merah delima yang kononnya bernilai tinggi di Jelebu, Disember tahun lalu.
Tertuduh, Salim, 44, yang berasal dari Tanjung Pinang, Medan, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.
Berdasarkan pertuduhan, pada 9 Disember tahun lalu, kira-kira pukul 10 pagi, tertuduh telah menipu warga emas perempuan berusia 68 tahun dengan memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM12,500 bagi tujuan pembayaran batu merah delima yang dikatakan bernilai tinggi dan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.
Kesalahan tersebut dilakukan di tempat letak kereta Pasar Awam Kuala Kelawang, Jelebu.
Oleh demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat serta denda.
Berdasarkan fakta kes, pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama, mangsa yang ketika itu bersama suaminya telah didatangi oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali disyaki warga Indonesia.
Lelaki pertama Salim iaitu tertuduh bertanyakan nama suami mangsa dan tiba-tiba muncul seorang lagi lelaki yang masih bebas mendakwa batu merah delima tersebut sangat bernilai tinggi dan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.
Tertuduh dan seorang lagi lelaki yang masih bebas berbincang di dalam kereta mangsa dan lelaki kedua tersebut menawarkan wang sebanyak RM100,000 bagi batu itu.
Bagaimanapun, tertuduh menyatakan batu itu hanya akan diberikan kepada mangsa kerana mangsa merupakan orang pertama yang dijumpai.
Mangsa kemudiannya pergi ke bank untuk mengeluarkan duit. Hasil kawad cam, mangsa dapat mengenalpasti tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh dalam rayuannya menyatakan merupakan ketua keluarga dan menanggung tiga anaknya berusia 18, 10 dan lapan tahun.
“Saya tulang punggung isteri dan anak-anak saya. Saya ada tiga orang anak, masih sekolah, mereka dalam tanggungan saya. Saya tidak akan mengulangi perbuatan saya ini dan sangat-sangat menyesal,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Loqman memohon satu hukuman yang tegas dengan mengambil kira kerugian besar mangsa dan bagi memberi pengajaran kepada orang lain.
Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara dua tahun lapan bulan dari tarikh sabitan beserta tiga sebatan dan denda RM8,000. Jika gagal bayar tujuh bulan penjara.
Difahamkan, tertuduh baharu sahaja direkrut untuk penipuan menggunakan batu merah delima pada penghujung tahun lalu dan masuk ke negara ini sebagai pelancong. – KOSMO! ONLINE