KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Urusan Felcra Training & Consultancy Sdn. Bhd. (FTC), Rohaizat Ahmad, diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 33 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memberi pelbagai kontrak pembekalan kepada anak dan menantunya sembilan tahun lalu.
Hakim Azura Alwi, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie atau keraguan terhadap tertuduh Rohaizat bagi kesemua pertuduhan berkenaan.
“Mahkamah mendengar, meneliti dan mempertimbangkan secara maksimum keterangan saksi pendakwaan, selain hujahan bertulis dan lisan difailkan semua pihak (pendakwaan serta pembelaan tertuduh).
“Mahkamah berpuas hati dan memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kamu (Rohaizat) atas 33 pertuduhan dan pindaannya mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menggunakan jawatan serta kedudukan untuk mendapatkan suapan.
“Oleh demikian, Rohaizat diperintah membela diri seperti mana ditetapkan mengikut Kanun Tatacara Jenayah,” kata hakim itu.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-16, Rohaizat, 58, didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan untuk mendapatkan suapan dengan melantik syarikat Al Maisan Enterprise milik menantunya antaranya sebagai pembekal peralatan elektronik dan sumbangan cenderahati, selain rakan strategik program latihan kemahiran, pembekal baju kurung dan T-shirt berkolar.
Bagi pertuduhan ke-17 hingga ke-33 pula tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan melantik anaknya sebagai pengerusi syarikat Hexa Tech Pride sebagai pembekal antaranya cenderahati korporat, telefon pintar, projektor, komputer riba, barangan elektronik dan sebagai perunding program keusahawanan.
Jumlah bagi 33 kesalahan itu membabitkan RM1.648,810.60.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Felcra Training & Consultancy Sdn. Bhd, Jalan Rampai Niaga 4, Rampai Business Park di sini antara 23 April 2014 dan 27 Jun 2018.
Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah seksyen 24 akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu semasa prosiding, mahkamah memberi pilihan iaitu yang pertama adalah tertuduh memberikan keterangan bersumpah dalam kandang di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan.
Kedua, memberi keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan, manakala yang terakhir berdiam diri tanpa menjawab tuduhan.
Rohaizat kemudian memilih untuk memberikan keterangan bersumpah.
Sementara itu, peguam bela Rohaizat, Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim, memohon mahkamah melapangkan 27 dan 28 Februari ini untuk prosiding bela diri kerana memerlukan masa untuk menyediakan penyataan saksinya.
Dalam pada itu Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong, pula memohon tarikh 17 Mac ini dilapangkan kerana terikat dengan kes lain.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, hakim Azura kemudian menetapkan bicara bela diri selama sembilan hari iaitu pada 22, 27 dan 28 Mac serta 3 hingga 6, 17 dan 18 April ini. – KOSMO! ONLINE