PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru para penjawat awam agar terus komited dalam mendepani cabaran untuk menyucikan sekaligus mengangkat martabat manusia serta negara.
Anwar berkata, persoalan utama yang harus diberi perhatian adalah bagaimana caranya untuk mengangkat keupayaan negara ke tahap yang lebih mulia, tinggi dan ke darjat yang lebih terpuji.
“Jawapannya ada di dalam Al-Quran iaitu kita tidak boleh terlepas daripada memiliki sifat ikhlas untuk ‘membebaskan’ sama ada dalam pekerjaan kita, amalan kita, jabatan kita atau negara.
“Menurut kupasan ulama-ulama silam dalam konteks ini, ia adalah membebaskan manusia daripada perhambaan dan segala bentuk penindasan,” katanya ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Februari 2023 di Puspanitapuri di sini, hari ini.
Anwar berkata, para penjawat awam harus memiliki keikhlasan dalam usaha untuk membebaskan rakyat dari segala bentuk penindasan, perhambaan, tindakan memperbodohkan rakyat dan memiskinkan rakyat dengan mengambil harta rakyat sehingga hak mereka tersisih.
“Ada pihak yang menegur tak patut saya menyebut perkara lama namun imej negara, ekonomi negara dan keterlanjuran yang berlaku itu tidak boleh dinafikan malah harus ada kekuatan dan tekad baharu daripada semua kalangan.
“Disebabkan itu, pada setiap kali perjumpaan dengan penjawat awam saya akan gesa kerana jika mahu menentukan kejayaan ‘pembebasan’ ini, ia tidak hanya melibatkan tokoh-tokoh politik sebaliknya harus disertai dengan semangat dan komitmen menyeluruh penjawat awam,” tegas beliau.
Ujar Perdana Menteri, beliau juga tidak mahu semua pihak terpukau dengan pelbagai slogan yang telah diperkenalkan selama ini yang disifatkan beliau sebagai tidak meyakinkan jika ia dikupas dengan lebih lanjut.
“Saya tidak mahu lagi tambah apa-apa slogan untuk kita hafal dan mahu mulakan dengan memberi gesaan kepada rakan saya, Jemaah Menteri supaya bekerja dengan penjawat awam sebagai satu pasukan dengan elemen amanah serta kepercayaan.
“Namun dalam semua kerja kita ini, ia harus utamakan membebaskan rakyat dan negara daripada segala keterlanjuran yang berlaku atau yang mungkin berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE