KUANTAN – Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat mendadak apabila seramai 4,230 mangsa direkodkan hari ini berbanding 1,310 mangsa yang direkodkan semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, kesemua mangsa daripada 1,240 keluarga dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kuantan dan Pekan.
“Daerah Pekan menjadi daerah terbaharu merekodkan mangsa banjir apabila seramai 110 mangsa daripada 32 keluarga dipindahkan ke empat PPS.
“Daerah Kuantan masih merekodkan jumlah mangsa yang terbanyak iaitu seramai 4,120 mangsa daripada 1,208 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya pada masa ini Sungai Belat di Kuantan dan Sungai Keratong di Rompin merekodkan paras bahaya. – KOSMO! ONLINE