KULIM – Kira-kira 25 buah rumah di Kampung Padang Limau di sini dilanda banjir kilat akibat limpahan Sungai Kob pada petang ini.
Kawasan rumah mula dinaiki air kira-kira pukul 4 petang selepas hujan lebat selama dua jam selain tebing sungai pecah.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, banjir dilaporkan sedalam kira-kira satu meter dan paras air didapati semakin naik.
“Hasil pemantauan juga mendapati Sungai Padang Limau melebihi paras bahaya dengan arus deras,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Agama Madrasah Ihsaniah Jangkang dibuka untuk menempatkan penduduk terjejas.
“Mangsa kini dalam proses dipindahkan ke PPS,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE