SELEPAS lulus ujian sulung dengan menewaskan Selangor pada final Piala Harapan 2023, kredibiliti pemain Penang FC sekali lagi teruji apabila tanpa pengendali pasukan, Manzoor Azwira Abdul Wahid ketika Liga Super membuka tirai musim ini.
Ketiadaan Manzoor Azwira bersama pasukan adalah disebabkan beliau akan ke Eropah bagi menjalani Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC/FAM 2022/2023.
Mengikut jadual pertandingan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Penang FC akan berkunjung ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur untuk bertemu naib juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), KL City FC pada 25 Februari ini.
Meskipun situasi tersebut sedikit sebanyak mengganggu persiapan pasukan, Manzoor Azwira kekal positif dan menaruh kepercayaan terhadap barisan kejurulatihan lain dalam merencanakan perancangan pasukan.
“Rasa sedih pun ada tetapi ini juga salah satu tugasan, jadi saya akan cuba berkomunikasi dengan barisan kejurulatihan lain supaya program pasukan dapat dijalankan dengan baik.
“Kursus ini adalah proses pembelajaran dan ia boleh membantu pasukan apabila saya balik nanti. Perlawanan pertama mungkin saya tidak sempat kerana baru sahaja balik, tetapi komunikasi antara saya dengan barisan kejurulatihan akan memastikan pasukan berada di landasan tepat untuk menghadapi perlawanan pertama,” katanya.
Manzoor Azwira antara 19 jurulatih yang sudah pun berangkat ke Croatia dan Hungary bagi melengkapkan kursus selama tiga minggu.
Pada aksi Piala Harapan di Stadium Negeri Pulau Pinang yang berlangsung Sabtu lalu, Penang FC diangkat sebagai juara selepas menumpaskan Selangor 2-1 dan kejayaan tersebut melengkapkan detik terbaik Harimau Kumbang sepanjang pramusim kali ini.
“Konsistensi amat penting, kalau kita boleh bermain seperti ini dalam liga, kita kena kekalkannya atau pun cuba tampil lebih baik,” katanya.