fbpx

Jelajah pramusim Sang Kenari di Turkiye tidak terjejas 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Sang Kenari bergambar bersama para peminat yang hadir memberi sokongan di LTSAH, Alor Setar sebelum mereka berlepas ke Turkiye dari KLIA sebagai persediaan pramusim kelmarin.

SIRI jelajah pramusim Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ke Turkiye tidak terjejas meskipun negara itu dilanda kejadian gempa bumi terburuk dalam sejarah berukuran 7.8 magnitud pada pagi semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, kejadian tersebut berlaku di zon yang berbeza daripada lokasi dituju pasukan iaitu Antalya.

Menurutnya, sehingga kini empat perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Pusat Sukan Limak Arcadia akan diteruskan seperti dirancang. 

“Alhamdulillah, setakat ini segalanya berjalan lancar mengikut jadual diatur. Delegasi KDA FC telah terbang ke Turkiye pukul 11 malam tadi dan tiba di Istanbul pagi ini sebelum menaiki penerbangan seterusnya ke Antalya.

“Kejadian yang melanda bumi Turkiye berlaku di zon berbeza dari pusat latihan, justeru jadual 10 hari Sang Kenari di negara ini tidak terjejas dan perlawanan persahabatan dengan empat pasukan lain tidak terjejas,” katanya.

Mengikut perancangan, KDA FC akan menentang FC Nasaf dari Uzbekistan pada 9 Februari. Selepas itu, anak-anak buah Mohd. Nafuzi Zain akan menentang FC Shakter Karagandy serta FC Maktaaral dari Kazakhstan pada 10 dan 12 Februari, diikuti FC Metalist Kharkiv dari Ukraine, dua hari selepas itu. 

Laporan media antarabangsa menyebut, lebih 100 maut dan kira-kira 500 cedera dalam gempa bumi besar berukuran 7.8 magnitud yang melanda tenggara Turkiye.

Menurut Geologi Amerika Syarikat (AS), gempa bumi itu berlaku pada pukul 4:17 pagi waktu tempatan pada kedalaman kira-kira 17.9 kilometer dengan gempa susulan 6.7 magnitud berlaku 15 minit kemudian.

Sementara itu Pemilik Majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar ketika dihubungi memohon semua pihak agar mendoakan yang terbaik buat pasukan.

“Moga-moga tak ada masalah sebab tempat berjauhan. Sama-sama kita doakan yang terbaik. Saya juga merancang untuk ke sana, bersama pasukan. Jika tiada aral, saya akan menaiki penerbangan ke Turkiye pada 11 Februari nanti,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI