KEHADIRAN bintang Bollywood yang kini mencipta nama di Hollywood, Priyanka Chopra pada majlis pengiktirafan Jonas Brothers sebagai penerima bintang di The Hollywood Walk of Fame meraih perhatian ramai.
Kedatangan aktres itu pada hari bersejarah suaminya, Nick Jonas turut diiringi puteri mereka, Malti Marie yang selama ini tidak didedahkan wajahnya.
Sebelum ini, pasangan popular itu berjaya mengelak wajah bayi mereka daripada lensa paparazi, malah turut bertindak menutup muka si kecil dengan emoji acap kali berkongsi momen bersama keluarga dalam media sosial.
Sudah pasti kemunculan Malti Marie yang dilahirkan ibu tumpang pada 15 Januari lalu mengundang sorotan mata dan kamera media mahupun paparazi.
Malah foto bayi comel yang menggayakan persalinan daripada pereka terkenal dan duduk di atas riba ibunya terus tular dalam laman sosial sehingga meraih pelbagai komen.
Rata-rata memuji kecomelan Malti dan tidak kurang pula yang mengatakan raut wajahnya saling tak tumpah seperti bapanya.
Pada masa sama, dalam kalangan netizen juga meramalkan buah hati pasangan sensasi berkenaan bakal menempa kemasyhuran seperti ibu bapanya.
Terdahulu, dikhabarkan Priyanka dan Jonas sepakat mengelakkan wajah anak mereka dirakamkan kamera paparazi.
Alasannya, sebelum ini Malti Marie dilahirkan tidak cukup bulan selain ditempatkan selama 100 hari di wad unit rawatan rapi (ICU).