DUNGUN – Kenaikan kos bahan mentah tidak menjadi halangan buat seorang peniaga donut untuk mengekalkan harga pada kadar 10 sen sebiji sejak tujuh tahun lalu.
Idham Shafiq Darmilus, 35, berkata, dia dan isteri, Edah Ali, 39, sepakat mengekalkan harga tersebut bagi mengekalkan pelanggan yang kebanyakannya pelajar dan golongan kurang kemampuan.
“Kebetulan gerai kami terletak berhadapan sekolah. Seronok lihat mereka boleh membeli 10 biji donut dengan hanya RM1 sebelum dikongsi bersama rakan-rakan.
“Tidak sampai hati untuk menaikkan harga kerana bimbang mereka tidak mampu,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Baru Kuala Abang di sini semalam.
Idham Shafiq mengakui, dia juga berdepan kenaikan kos bahan mentah, khususnya tepung gandum protein tinggi yang kini berharga RM3.50 sekilogram berbanding RM1.60 pada 2016.
Tambah bapa kepada lima anak itu, bahan-bahan lain untuk membuat donut seperti susu, yis dan gula turut naik harga.
“Sebenarnya walaupun menjual donut 10 sen sebiji, keuntungan masih diperoleh biarpun margin rendah.
“Alhamdulillah, setiap hari, kami dapat menjual sekurang-kurangnya 2,000 biji donut yang menggunakan kira-kira 10 kilogram tepung,” katanya.
Idham Shafiq berkata, bagi meningkatkan pendapatannya, dia memperkenalkan produk donut sejuk beku.
Seorang pelanggan, Zura Mat Salleh, 35, berkata, dia sanggup ke Kampung Kuala Abang yang terletak 15 kilometer dari rumahnya di Kampung Merchang, Marang untuk membeli donut.