fbpx

Jerat mangsa dari China, Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hasil risikan dan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati sindiket Macau Scam yang membabitkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dikesan menyasarkan rakyat China dan Indonesia sebagai mangsa penipuan mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sindiket berkenaan turut menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi, namun operator yang menjalankan penipuan dalam talian adalah berasal dari China dan Indonesia.

Katanya, modus operandi sindiket Macau Scam ini adalah menggunakan plaftorm media sosial seperti WeChat, QQApp, Facebook dan Weibo bagi menjalankan pelbagai aktiviti penipuan, perjudian online dan pelaburan pertukaran mata wang asing Forex.

“Sindiket ini beroperasi di Malaysia, operator pula dikendalikan majoriti warga China. Serbuan mendapati sindiket antarabangsa ini turut menggunakan operator dari Indonesia.

“Sebab itu mereka perlukan penyelaras iaitu ahli perniagaan tersebut untuk mendapatkan kemudahan rumah, logistik, internet dan sebagainya di Malaysia.

“Pemain (mangsa) dari China akan menggunakan matawang Renminbi, manakala mangsa dari Indonesia menggunakan matawang Rupiah dalam semua urusan perjudian dan pelabuhan haram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini semalam.

Beliau menambah, sindiket ini memilih Malaysia sebagai pusat operasi disebabkan kemudahan jaringan telekomunikasi dan kemajuan teknologi internet.

“Tindakan kerajaan China mengharamkan aktiviti kegiatan penipuan atau Macau Scam di negara itu turut mendorong sindiket berkenaan untuk ber­operasi di Malaysia.

“Persamaan bahasa antara rakyat China dan kaum Cina di Malaysia juga mungkin antara faktor menarik sindiket Macau Scam beroperasi di negara ini.

“Ini menyebabkan kesukaran untuk kita mengesan mereka yang datang dari China,” jelasnya.

Tegas beliau, perbuatan suspek berkenaan merupakan satu kesalahan dan pihak polis tidak akan sewenang-wenangnya membebaskan mereka, malah akan menyiasat jika wujud pembabitan ahli politik.

“Soal siasat setakat ini mendapati wujud elemen ‘scam’ dalam aktiviti melibatkan lelaki ini. Soal siasat lanjut oleh JSJ akan dite­ruskan dan subjek ini juga akan dikongsi dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Cawangan Khas (SB) dan Jabatan Intergriti Pematuhan Standard (JIPS) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis telah menyerbu pejabat seorang lagi suspek lelaki yang menjadi buruan polis di Plaza Low Yat di sini baru-baru ini, manakala suspek bergelar Datuk itu didapati mempunyai jenayah lampau bersabit kes samun mengikut Akta Ordinan Darurat 1969.

“Siasatan juga sedang dijalankan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung tindakan melarikan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 11 Oktober lalu. Kami masih sedang mengesannya,” katanya.

Beliau berkata, polis telah menyerbu 12 pusat panggilan Macau Scam di sekitar Lembah Klang sejak Sabtu lalu dan menahan seramai 138 individu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI