fbpx

Gempa Turkiye: 75 anggota SMART berlepas malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seramai 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dijadualkan berlepas ke Turkiye malam ini bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan susulan kejadian gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda Gazientep hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, proses penghantaran pasukan itu dibuat setelah mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain menerima pengesahan keperluan bantuan daripada kerajaan Turkiye.

“Sehubungan itu, seramai 75 orang anggota akan digerakkan ke Turkiye malam ini menerusi penerbangan Turkish Alirlines dengan membawa bersama peralatan yang akan digunakan di dalam operasi mencari dan menyelamat.

“Pasukan SMART telah menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada tahun 2016 yang membolehkan pasukan itu dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Difahamkan, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir juga akan menyertai pelepasan pasukan SMART dan akan mengadakan sidang akhbar berhubung situasi itu.

Terdahulu, gempa bumi berdurasi 75 saat dilaporkan melanda barat bandar raya Gaziantep dekat sempadan Syria pada pukul 4.17 pagi (9.17 pagi waktu Malaysia).

Gegaran kedua tertinggi dalam sejarah Turkiye selepas 1939 yang berkekuatan 7.9 skala Magnitud itu turut telah mengakibatkan ancaman tsunami di perairan negara berkenaan.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan seramai 360 orang disahkan maut manakala 440 lagi cedera meliputi tujuh wilayah di Turkiye dengan lebih 100 buah bangunan runtuh.

Sementara jirannya pula, Syria mengesahkan sehingga kini sudah 237 orang terbunuh manakala 516 orang cedera dengan ada mangsa tertimbus di bawah runtuhan rumah sendiri.

Dalam pada itu, Wisma Putra memaklumkan bahawa pihak Kedutaan Besar Malaysia di Ankara masih lagi memantau rapi segala perkembangan terkini gempa bumi tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI