QARIAH atau Tilmizah Nur Ain Syahirah Shaifullah, 21, menjadi peserta pertama yang tersingkir pada minggu kedua program Akademi Qurra’ yang ditayangkan menerusi TV AlHijrah, Sabtu lalu.
Syahirah yang berada di bawah bimbingan Mudarrisah, Ustazah Farhatul Fairuzah mengakui sedih atas penyingkiran itu, namun bersyukur dipilih menjadi peserta program tersebut.
“Saya memang sangat sedih, kalau boleh tidak mahu keluar awal. Saya memang sudah rapat dengan rakan-rakan dan mudarrisah di sini. Keluarga di rumah pun memang memberikan harapan kepada saya.
“Sebenarnya untuk minggu kedua ini ada peningkatan dari segi suara dan lagu. Cuma mungkin ada kesilapan pada bahagian lagu, mungkin termasuk lagu lain.
“Sebab saya tidak perasan dan bukan mudah untuk berada di pentas ini. Tetapi saya tetap bersyukur kerana berbanding ramai peserta saya antara 12 yang terpilih,” katanya.
Menurutnya yang berasal dari Kelantan, penyingkiran itu bukan penamat untuknya terus belajar memperbaiki kelemahan diri.
“Untuk taranum ini saya nak cari lagi guru-guru yang hebat dan banyak ilmu. Saya tidak berhenti sampai sini dan akan kembali lagi.
“Saya akan terus rujuk guru-guru yang ada di sini. Insya-Allah, saya akan teruskan sampai bila-bila. Sebab ilmu taranum dan al-Quran ini sampai mati,” katanya.
Pada minggu kedua yang bertemakan Inspirasi – OKU Penglihatan, Tilmiz Akasyah berada di kedudukan teratas, diikuti oleh Tilmiz Zuhdi dan Tilmiz Saifullah.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Akademi Qurra’, Saifulizzam Mohd. Lizah berkata, penyingkiran perlu dibuat selepas kesemua peserta diberi peluang pada episod pengenalan pada minggu lalu.
“Kalau diikutkan saya memang mahu simpan mereka semua dan agak susah untuk buat keputusan penyingkiran ini sebab semua peserta sangat komited.
“Bila saya terima laporan daripada mentor, semua peserta menunjukkan prestasi yang baik. Mungkin sebab sudah lama tidak ada program seperti ini, jadi mereka bersemangat.
“Ditambah pula dengan sokongan daripada penonton. Berdasarkan reaksi penonton dalam media sosial, 98 peratus memberikan maklum balas positif untuk program seperti ini.
“Bagaimanapun, penyingkiran tetap harus dibuat kerana mengikut perancangan awal pada minggu kelapan, mungkin ada lima sahaja peserta ke peringkat akhir. Jadi, untuk peserta yang tersingkir, saya tetap benarkan untuk terus berada dalam kelas sama ada secara dalam talian atau fizikal. Sekurang-kurangnya mereka terus dapat ilmu,” katanya.
Berkongsi mengenai perkembangan prestasi peserta, Saifulizan berkata, perasaan gemuruh itu masih ada.
“Dari segi peningkatan peserta saya nampak mereka bersusah payah mungkin sebab gemuruh. Mereka biasa masuk pertandingan tilawah, tetapi bukan di peringkat yang tinggi. Perasaan gemuruh itu datang apabila melihat juri, kamera banyak dan sebagainya.
“Jadi, minggu ini saya buat satu sesi untuk mengatasi masalah tersebut. Alhamdulillah mereka semua nampak lebih bersedia. Inilah yang akan berlaku pada setiap minggu, kami mahu mereka lebih mahir dan faham ilmu taranum termasuk ilmu tajwid,” katanya.
Program Akademi Qurra’ dihoskan oleh Fakhrul UNIC, disiarkan setiap Sabtu, pukul 9 malam dan diadili sepenuhnya oleh juri tetap iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Qari Muhammad Qayyim Nizar dan juri jemputan berbeza pada setiap minggu.
Sementara Mudarris dan Mudarrisah yang menjadi tulang belakang membimbing semua peserta pula ialah Ustaz Ammar Mukhlis, Ustazah Farhatul Fairuzah dan Ustazah Sofizah Mousin.
Minggu kedua turut menampilkan juri jemputan Ustaz Dr. Lokman Ibrahim dan penyanyi jemputan Azmi Saat. – KOSMO! ONLINE