LONDON – Pelumba Portugal, Miguel Oliveira enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi ketika dia bakal membuka lembaran baharu bersama pasukan satelit Aprilia, RNF MotoGP Team.
Bekas pelumba KTM tersebut menegaskan dia mahu mendapatkan keserasian bersama jentera Aprilia RS-GP terlebih dahulu sebelum meletakkan sasaran menjelang perlumbaan MotoGP 2023.
Justeru, Oliveira mahu menggunakan kesempatan yang ada untuk menguji jentera RS-GP menjelang aksi pramusim yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 hingga 12 Februari ini.
“Anda selalu berharap pelumba dapat menyesuaikan diri dengan jentera dan pastinya saya juga meletakkan harapan tersebut sebaik melangkah menyertai pasukan baharu ini.
“Untuk saat ini, kami harus kekal tenang, jangan terlalu terburu-buru dan kekal dengan misi utama kerana banyak perkara harus dilakukan pada pramusim nanti.
“Memulakan musim dengan kuat adalah tujuan pasukan ini, tetapi harus ingat bahawa pasukan ini akan bermula dengan jentera baharu dan juga terdiri dengan pelumba baharu.
“Tentu saja keadaan lebih positif jika kami berada dekat pasukan utama Aprilia, Aleix Espargaro dan Maverick Vinales dalam saingan ini. Saya harap mampu lakukan terbaik bersama jentera baharu ini” kata Oliveira.
Menjelang saingan MotoGP 2023, Oliveira yang akan bergandingan bersama Raul Fernandez akan turun menguji ‘fairing’ baharu di Sepang sebelum memutuskan untuk menggunakan komponen tersebut pada saingan musim baharu nanti atau sebaliknya. – AGENSI