MILAN – Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez mengakui cukup berbangga untuk membantu kemenangan 1-0 pasukannya ke atas seteru setempat, AC Milan pada aksi derbi di San Siro, awal pagi semalam.
Bercakap tentang perseteruan kedua-dua pasukan, bintang dari Argentina itu tidak segan untuk mengatakan kemenangan berkenaan menjadi bukti Inter adalah pasukan lebih baik di Milan.
Menerusi tujuh gol yang dihasilkan Martinez dalam perlawanan derbi setakat ini, hanya Stefano Nyers yang berada pada kedudukan lebih baik selepas mengumpul 11 gol dalam perlawanan berkenaan.
“Luar biasa. Perlawanan ini tidak ubah seperti berada bersama pasukan Argentina. Saya begitu gembira kerana berjaya membuktikannya sekali lagi dan sekarang kota Milan kini berwarna biru dan hitam,” kata Martinez
Bintang antarabangsa Argentina itu turut meledak satu gol ketika menang 3-0 ke atas AC Milan dalam saingan Piala Itali, 19 Januari lalu.
Tiga mata yang dikutip pada perlawanan ini mengekalkan Inter di tangga kedua Serie A dengan 43 mata sekali gus mampu untuk meneruskan tekanan kepada pendahulu, Napoli yang kini memiliki kelebihan 13 mata.
Walaupun tidak memiliki rehat yang mencukupi selepas bekerja keras bersama Argentina di Piala Dunia Qatar, prestasi luar biasa Martinez membuktikan dirinya kini sedang berusaha untuk menjadi lebih baik.
“Saya sudah katakan sejurus tamat Piala Dunia, kejayaan di Qatar membakar semangat kami kerana kejuaraan itu adalah pencapaian terhebat dalam karier. Saya belajar banyak perkara dan akan cuba bawanya ke dalam padang,” jelasnya. – AGENSI