LONDON – Jaringan tunggal menerusi Harry Kane menyaksikan Tottenham Hotspur berjaya meraih kemenangan 1-0 ke atas Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi semalam.
Gol berkenaan juga menjadikan penyerang berkenaan kini memegang status penjaring terbanyak sepanjang zaman Spurs dengan 267 gol memintas pencapaian hampir 50 tahun legenda mereka, Jimmy Greaves.
Kane juga menjadi pemain paling pantas meledak 200 gol dalam sejarah 31 tahun Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu dua perlawanan lebih cepat berbanding pemegang rekod ketika ini, Alan Shearer.
Ketika diminta mengulas mengenai pencapaian berkenaan, Kane mengakui dia tidak pernah bermimpi untuk melakukan pencapaian seperti itu pada awal kariernya, namun gembira jaringan itu membantu kemenangan Spurs ke atas juara bertahan EPL tersebut.
“Ia adalah momen yang menakjubkan. Saya sangat terdesak untuk menjaringkan gol dan memberikan kemenangan kepada pasukan. Melakukannya di hadapan penyokong sendiri adalah suatu perasaan yang luar biasa.
“Sebelum ini ramai yang bercakap mengenai perkara itu (menjadi penjaring terbanyak Spurs sepanjang zaman). Saya hanya mahu melakukannya dan ia sangat istimewa apabila dapat berbuat demikian dalam perlawanan besar seperti ini.
“Apabila saya mula bermain secara tetap, saya tidak pernah terfikir untuk menjaringkan 200 gol di EPL. Selepas berada di sini ketika ini, ia sangat menggembirakan dan saya masih mempunyai banyak masa untuk menambah jumlah berkenaan,” jelasnya.
Jumlah jaringan itu menyaksikan Kane hanya kekurangan lapan gol berbanding Wayne Rooney serta 60 gol di belakang Shearer.
– AGENSI