KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil 10 artis bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan Macau Scam dan judi online.
Sumber berkata, 10 individu itu termasuk seorang pelakon wanita yang turut bergiat aktif dalam bidang pengacaraan serta seorang pelakon lelaki popular.
Difahamkan, kedua-dua artis terbabit merupakan usahawan.
“Kesemua mereka akan diminta hadir ke Ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan.
“Kita tidak menolak kemungkinan ramai lagi akan dipanggil kerana mereka diperlukan untuk membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan sindiket Macau Scam dan judi online,” katanya.
Tambah sumber itu, pihaknya sudah merakamkan keterangan sembilan lagi individu membabitkan kes sama semalam.
“Percakapan mereka yang berusia lingkungan 25 hingga 32 tahun itu dirakam di pejabat SPRM dan beberapa kawasan lain pukul 3 petang,” ujarnya.
Sementara itu, Sharnaaz Ahmad memaklumkan dirinya akan memberikan kerjasama sekiranya dipanggil SPRM bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.
“Ya, memang saya ada berhubung dengan SPRM tentang isu tersebut (pengubahan wang haram). Namun, saya tidak boleh memberi kenyataan lanjut kerana perkara ini masih dalam siasatan.
“Apapun, saya sedia memberikan kerjasama sepenuhnya sekiranya dipanggil pihak SPRM.
“Itu sahaja yang boleh saya kongsi buat masa sekarang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Bagaimanapun, Sharnaaz atau nama sebenar, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 35, memberitahu, setakat ini, dia belum menerima arahan mana-mana pihak, biarpun ada yang mendakwa dirinya menjadi antara selebriti yang dikatakan bakal dipanggil SPRM.
Ditanya sama ada isu berkenaan memberi impak negatif terhadap perniagaan kedai minuman yang diusahakannya, Sharnaaz, memberitahu, impak lebih kepada jenama.
“Alhamdulillah, perniagaan saya seperti biasa dan tiada apa-apa yang berlaku. Cuma daripada segi jenama, ia agak terjejas. Saya tidak perlu takut kalau saya tidak salah. Mungkin kita hanya berada pada tempat dan masa yang silap,” jelasnya.
Sementara itu, wakil pengurusan Neelofa pula berkata, tiada sebarang komen dapat diberikan perihal desas-desus mengatakan pelakon dan pengacara itu dipanggil SPRM bagi membantu siasatan tersebut.
Perkara itu mula menjadi perbualan ramai selepas seorang pengguna Twitter memuat naik ciapan dengan memberi petunjuk bahawa pengacara wanita yang ditahan tersebut adalah Neelofa.
“Mungkin boleh tanya individu itu mana dia dapat nama. Tiada komen daripada pihak kami,” ujar wakil itu ringkas.