PETALING JAYA – Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menawarkan diri untuk bertanding jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilhan akan datang.
Beliau yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memperkukuhkan parti dan agar ia terus relevan kepada semua golongan masyarakat .
“Di atas semangat untuk terus menyumbang kepada parti, saya percaya dengan pengalaman yang ada akan dapat membantu menyerlahkan lagi UMNO kepada masyarakat di negara ini sekali gus mahu memperkukuh parti keramat ini.
“Saya juga mahu bersama-sama pucuk pimpinan memastikan parti ini terus dilihat relevan kepada semua golongan masyarakat terutama kepada generasi masa depan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dia akan menyerahkan borang pencalonan pemilihan MKT ini dalam tempoh tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat bermula 13 Februari sehingga 26 Februari depan.
Untuk rekod, Abdul Razak sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Cawangan, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Exco Pemuda UMNO Malaysia, Bendahari Pemuda UMNO Malaysia dan kini Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka.-KOSMO! ONLINE.