SUNGAI PETANI – Peniaga di pasar basah Tikam Batu, di sini mengeluh berikutan kenaikan mendadak harga barang basah sejak perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Tinjauan Kosmo! di pasar tersebut mendapati rata-rata peniaga terpaksa mengehadkan jenis sayur yang dijual kerana tidak mahu menanggung kerugian apabila pelanggan tidak membeli sayur kerana harga mahal.
Seorang peniaga sayur, Aminah Abdullah, 43, berkata, dia terpaksa menjual sayur dengan harga lebih 50 peratus susulan harga borong beberapa jenis sayur naik mendadak.
“Antara harga sayur yang naik melambung ialah tomato, sawi, kacang buncis, timun, daun sup, daun bawang dan bendi.
“Saya terpaksa berhenti membeli sayur dari Cameron Highlands memandangkan harga bekalannya naik terlalu tinggi.
“Kebanyakan sayur yang dijual hari ini (semalam) adalah bekalan yang diambil dari Thailand,” katanya ketika ditemui semalam.
Ujarnya, harga bekalan sayur dari Thailand juga sudah naik, jika dahulu harga sekotak tomato saiz kecil ialah antara RM20 hingga RM30, kini sudah naik kepada RM50 sekotak.
Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali Ani, 45, berkata, dia terpaksa mengehadkan jenis sayur yang dijual kerana tidak mahu menanggung kerugian.
“Saya tidak mengambil bekalan tomato berikutan harga borong tomato dari Cameron Highlands kini sudah mencecah kira RM90 sekotak iaitu kira-kira berat enam kilogram.
“Jika saya ambil bekalan tomato, saya perlu jual dengan harga kira-kira RM10 hingga RM20 sekilogram,” jelasnya.
Selain itu, harga ikan kembung dan hasil laut lain juga masih tinggi iaitu antara RM8 hingga RM10 sekilogram bagi saiz kecil.
Sementara itu, peniaga ikan, Muhamad Rizal Sanudin, 24, berkata, dia cuma menjual ikan kembung dan sotong bersaiz kecil sahaja kerana tiada bekalan.
“Saya jual ikan kembung RM8 sekilogram, manakala sotong pula RM16 sekilogram,” jelasnya.