PETALING JAYA – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran bahaya paras air bagi empat sungai di negeri Pahang dan Johor setakat pukul 11.15 pagi.
JPS menerusi laman sesawangnya memaklumkan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan ketika ini pada paras bahaya dengan bacaan 5.64 meter (m) dengan trend menurun.
Seterusnya, Sungai Kuantan di Bukit Kenau dengan bacaan 22.14m melebihi tahap bahaya sebanyak 0.64m dengan trend menaik manakala di Sungai Lembing, bacaan adalah 37.2m melebihi tahap bahaya sebanyak 1.2m dan trend adalah tiada perubahan.
Sementara di negeri Johor, Empangan Bekok, Batu Pahat berada di tahap bahaya dengan bacaan 18.98m, melebihi 0.28m dengan trend tiada perubahan.
Dalam pada itu, JPS pagi ini telah mengeluarkan amaran banjir terhadap dua daerah di Pahang iaitu Kuantan (bermula 12.30 tengah hari) serta Rompin (bermula (12 tengah malam).
Katanya, kawasan yang dijangka banjir di daerah Kuantan adalah Kampung Batu 6, Kampung Sungai Charu, Kampung Panching, Kampung Pasir Kemudi dan sekitarnya.
Bagi daerah Kuantan pula adalah di Kampung Perwira Jaya, Felda Selancar dan kawasan sekitarnya. -KOSMO! ONLINE.