SUNGAI PETANI – Demi kasih, seorang graduan universiti berusia 33 tahun tahun dari Kampung Tempoyak, Merbok dekat sini sanggup mengorbankan masa dan kepentingan lain untuk menjaga ibunya yang terlantar akibat strok sejak lapan tahun lalu.
Siti Rokhiyah Mohd. Noor adalah graduan Pengajian Ekonomi dan Pengurusan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurutnya, dia pada ketika ini hanya memikirkan keperluan ibunya, Che Normah Ahmad, 64, yang memerlukan penjagaan dan perhatian sepanjang masa.
“Saya tidak memohon pekerjaan meskipun mempunyai kelulusan tinggi.
“Ibu sakit terlantar dan memerlukan bantuan untuk menguruskan keperluan hariannya.
“Saya tidak kisah untuk berkorban apa sahaja untuk berbakti kepada ibu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tempoyak, Merbok di sini baru-baru ini.
Katanya, ibunya yang pernah menjadi pekerja pembersihan tiba-tiba rebah di rumah akibat strok dan hilang upaya bergerak.
Ujar Siti Rokhiyah, bapanya, Mohd. Noor Hussin telah meninggal sebelum ibu sakit, manakala dua abang serta seorang adik perempuan sudah berumah tangga.
Katanya, rutin hariannya bermula awal pagi untuk memandi dan membersihkan ibunya.
“Ibu hanya terbaring dan tidak dapat bergerak, selain minum susu guna tiub yang disalurkan melalui hidungnya,” ujarnya.
Tambahnya, selepas memperoleh ijazah pada pertengahan 2013, dia pulang menetap di kampung dan bertugas sebagai guru ganti sehingga ibunya terkena strok dua tahun kemudian.
“Saya bernasib baik kerana mempunyai dua abang dan adik yang membantu dari segi kewangan selama ini, selain mendapat wang pencen bulanan bapa sebagai kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Tidak pernah terlintas rasa menyesal belajar tinggi tetapi tidak bekerja. Bagi saya pengorbanan ibu menjaga dan membesarkan saya lebih besar,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu, boleh menghubungi Siti Rokhiyah di talian 011-7287 5328.